NASIONAL

SPR tolak SUHAKAM pantau PRU14

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 27 APR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) gagal dalam usahanya menjadi pemantau Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14).

Pengerusinya, Tan Sri Razali Ismail berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak permohonan badan itu sekali gus anggotanya tidak dibenarkan masuk ke pusat mengundi.

“SUHAKAM tidak dapat memahami keputusan ini, kerana kami dimaklumkan pemerhati antarabangsa akan hadir semasa pilihan raya berjalan.

“SUHAKAM merupakan institusi berintegriti dan mendapat kekuatannya daripada mandat undang-undang bagi melindungi dan mempromosikan hak asasi manusia di Malaysia.

“Bagaimanapun, kami tetap akan meneruskan pelan pemantauan demi kepentingan awam,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Razali berkata, keputusan itu adalah satu lagi tindakan meragukan SPR dan turut mengingatkan SPR supaya telus dalam menjalankan pilihan raya berintegriti.

“Pilihan raya yang bebas dan adil atau sebaliknya merupakan faktor utama hak asasi manusia.

“Kami menyeru SPR mengiktiraf dan memperakui prinsip-prinsip hak asasi manusia yang utama dalam pemilihan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sebelum ini mereka akan mempunyai 50 pemerhati di lapangan untuk meninjau kerusi parlimen ‘panas’ semasa PRU14.

“Pemerhati terdiri daripada pesuruhjaya, pegawai dan sukarelawan akan dihantar ke kerusi di Kuala Lumpur, Selangor, Kelantan, Kedah, Perak, Perlis, Pahang, Negeri Sembilan, Sarawak dan Sabah,” katanya.

Terdahulu, SPR menetapkan syarat tambahan iaitu hanya gambar calon bersama presiden atau timbalan presiden parti dibenarkan dalam kempen.

Langkah itu dianggap satu tindakan untuk menyekat pengaruh Ketua Umum PAKATAN Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad.


Pengarang :