NASIONAL

Anwar: Tak perlu jawatan, saya ada elaun lain…

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 18 MEI: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memerlukan sebarang jawatan dan kedudukan sebagai menteri kabinet dalam tempoh terdekat ini.

Beliau secara berseloroh berkata, tanpa gaji dan pendapatan sebagai menteri kabinet pun, sudah mampu menampung kelangsungan perjalanan politik dan kehidupan beliau.

Justeru kata Anwar, masa bersama keluarga dan sokongan di belakang kepimpinan Tun Mahathir Mohamad adalah jalan paling terbaik baginya, kini.

“Saya tak perlu berada dalam kabinet. Cukuplah Wan Azizah (Datuk Seri Dr Wan Azizah).

“Tak perlu semua itu. Saya (ada) elaun, ada banyak kes saman saya menang.

“Kes Papa Gomo sudah ada RM1 juta, TV3 juga RM1 juta, dan minta maaf cakap, Utusan (Melayu) pun ada RM250,000 tak silap saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan ratusan penyokongnya pada Majlis Iftar, di kediamannya di Bukit Segambut, malam tadi.

Anwar sebelum ini dilapor sebagai individu terbaik yang mampu menggantikan tampuk kepimpinan negara, selepas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

Walaupun begitu, Anwar sebelum ini menegaskan beliau akan berehat dalam tempoh tertentu bagi memberi ruang kepada pentadbiran Putrajaya ketika ini.

Untuk rekod, Anwar pernah berada dalam kabinet Malaysia, sebagai Timbalan Perdana Menteri di era pentadbiran Tun Mahathir, pada 1998.


Pengarang :