NASIONAL

Anwar dedah, kenapa berbaik dengan Tun M

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 18 MEI: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan alasan sebenar, hubungan baiknya dengan bekas seteru politiknya, Tun Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, sentimen rakyat dan pembentukan Malaysia yang lebih sejahtera menjadi asas terpenting baginya untuk menepis episod gelap, kedua-dua pemimpin berpengaruh itu.

Bagi Anwar, pengalaman masa lalu itu perlu diketepikan dengan membuka lembaran positif ke arah merealisasikan pembentukan Malaysia baru.

“Orang mahu berbaik, kenapa perlu kita tolak? Kita lihat niat dan komitmen beliau, sudah berbulan-bulan belia bersetuju dengan pelbagai dasar kita.

“Tengok sahaja, selepas beliau jadi Perdana Menteri. Beliau kotakan janji-janji dan itu sudah mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan ratusan penyokong-penyokongnya pada Majlis Iftar, di kediamannya di Bukit Segambut, malam tadi.

Terdahulu, umum maklum persengketaan Anwar dan Tun Mahathir susulan pemecatan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri, dalam kabinet Tun Mahathir, pada 1998.

Persengketaan itu akhirnya membentuk kepada lahirnya parti politik reformasi, Parti KeADILan Nasional yang ditunjangi Presiden Parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Susulan itu, Tun Mahathir disifatkan sebagai musuh tradisi parti itu.

Bagaimanapun, persengketaan itu dilenyapkan apabila Tun Mahathir secara terbuka hadir menyokong Anwar pada prosiding perbicaraan kes di Mahkamah, tahun lalu.

Sokongan itu sekali gus menjadi permulaan perkembangan positif perubahan senario politik negara melalui pembentukan gabungan Pakatan Harapan (PAKATAN).


Pengarang :