GLOBAL

AS akan terus siasat 1MDB

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 23 MEI: Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) mengeluarkan kenyataan pihaknya akan meneruskan siasatan ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Jurucakap DoJ menerusi satu kenyataan yang diemelkan kepada Reuters menyatakan hasrat sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang Malaysia yang membuka semula siasatan ke atas dana pelaburan kerajaan itu.

“Jabatan tersebut beriltizam memastikan AS dan sistem kewangan negara ini tidak terancam dengan mana-mana individu rasuah dan kleptokrat yang cuma menyembunyikan kekayaan mereka yang didapati secara salah.

“Sekiranya semua aset berjaya diperoleh, ia akan digunakan untuk memberi manfaat kepada rakyat semula,” katanya dalam kenyataan.

AS memfailkan aduan perampasan pada 2016 dan 2017 perlucutan (forfeiture complaints) bertujuan mendapatkan balik semua aset bernilai AS$1.7 bilion (RM6.75 bilion) membabitkan isu penyelewengan dana 1MDB tersebut.

Aduan itu juga mendakwa lebih AS$4.5 bilion (RM17.87 bilion) diambil daripada 1MDB dan dilaburkan dalam beberapa syarikat serta akaun bank di AS dan beberapa negara lain.


Pengarang :