SELANGOR

BN patut malu dengan Jaringan Persatuan Penduduk Kota Damansara

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 2 MEI: Kerajaan Barisan Nasional (BN) wajar mencontohi bagaimana Jaringan Persatuan-Persatuan Penduduk Kota Damansara membuka ruang demokrasi untuk penduduknya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 kali ini.

Calon kerusi Parlimen Sungai Buloh, R. Sivarasa berkata, hal ini berikutan langkah diambil gabungan persatuan penduduk itu menjemput kesemua calon bertanding di Kota Damansara pada satu program untuk mengemukakan manifesto masing-masing kepada penduduk.

“Mereka jemput semua calon Parlimen dan DUN di Kota Damansara ini dan beri peluang untuk kita tunjukkan manifesto kita.

“Ini bukan perdebatan tetapi penerangan secara santai dan apa yang berlaku di sini sepatutnya berlaku di peringkat kebangsaan di mana mereka membuka satu ruang demokrasi kecil di Dewan Kota Damansara,” katanya ketika ditemui SelangorKini di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Parlimen Sungai Buloh di sini, semalam.

Sivarasa turut mengucapkan tahniah kepada persatuan terbabit kerana sikap terbuka mereka menganjurkan program seumpama ini.

Katanya, BN sepatutnya membuka ruang sama kepada parti bertanding pada PRU-14 untuk muncul di kaca televisyen bagi menerangkan manifesto masing-masing kepada rakyat.

=EZY=


Pengarang :