NASIONAL

Dasar pandang ke Timur kembali bersinar

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 12 MEI: Duta Jepun di Malaysia, Dr Makio Miyagawa mengucapkan tahniah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad atas kemenangan menakjubkan Pakatan Harapan (PAKATAN), pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan pelantikan semula sebagai Perdana Menteri.

Dalam surat ucapan tahniah, beliau menyatakan tidak sabar untuk bekerjasama meningkatkan hubungan dua hala dan berganding dengan kerajaan baharu bagi mencapai keamanan serta kemakmuran, di rantau Asia Pasifik.

“Kerajaan dan rakyat Jepun tidak pernah melupakan ikatan mesra dengan Tun Mahathir dan rakyat Malaysia. Saya sangat berharap untuk mengucapkan tahniah kepada anda secara bersemuka dalam masa terdekat ini.

“Saya amat kagum dengan semangat jitu Tun Mahathir kepada Malaysia dan rakyatnya seperti ditonjolkan semasa kempen pilihan raya,” tulisnya.

Sementara itu, Miyagawa berkata, pelbagai lapisan ikatan ekonomi yang rapat menerusi perdagangan dan pelaburan aktif serta pertukaran budaya antara rakyat Jepun juga Malaysia berdasarkan pendekatan terkenal Tun Mahathir menerusi Dasar Pandang Ke Timur.

“Sekali lagi izinkan saya menyampaikan ucapan tahniah kepada anda dan rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan untuk bekerjasama sepenuhnya secara rasmi dan peribadi kepada kerajaan di bawah kepimpinan Tun Mahathir serta bertekad mengekalkan hubungan mesra dua hala antara Tokyo juga Kuala Lumpur.

Terdahulu, Tun Mahathir mengejutkan politik negara apabila berjaya menggulingkan Barisan Nasional yang memerintah negara selama 60 tahun.

Pemimpin berusia 92 tahun itu sekali gus mencipta sejarah apabila dilantik menjadi perdana menteri kali kedua selepas memegang jawatan itu selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003 dan muncul sebagai perdana menteri tertua di dunia.


Pengarang :