Selangorkini
NASIONAL

Inisiatif Mohamad Sabu siasat skandal kembali keyakinan rakyat

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 24 MEI: Komitmen Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menyiasat dakwaan skandal membabitkan kementerian itu disifatkan sebagai langkah terbaik mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap institusi awam negara.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, penyiasatan teliti itu diyakini akan membongkarkan salah laku dan penyalahgunaan kuasa semasa pentadbiran lama.

Katanya, Kerajaan Malaysia kini mengambil serius isu penyelewangan yang memberi kesan buruk kepada pentadbiran dan kewangan negara.

“Kepentingan warga pertahanan negara harus diutamakan kerana mereka menggadai nyawa demi mempertahankan kedaulatan negara.

“Jika terdapat sebarang penyelewengan, ia boleh menjejaskan kemampuan mereka untuk melaksanakan tanggunjawab dengan lebih berkesan,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Nik Nazmi berkata, rakyat tidak mahu melihat hal membabitkan keselamatan negara dikompromi ekoran kegagalan menyediakan aset dan pembekalan sempurna,

“Amalan rasuah, pemberian kontrak kepada syarikat kroni dan pembelian aset tidak menepati piawaian dharuslah dihentikan serta merta, manakala setiap kontrak yang dimeterai harus dilihat semula dari segi faedah serta kos kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Kita juga harus memperkasakan semula pertahanan negara dan saya percaya Menteri Pertahanan akan menjalankan tugas ini dengan telus serta penuh bertanggungjawab dalam kita membina semula negara,” katanya.

Terdahulu, Mohamad Sabu menandatangani nota terima tugas dan berjanji untuk menyiasat dakwaan membabitkan kementeriannya, termasuk isu dua unit kapal selam Scorpene yang mencetuskan kontroversi.

Tindakan itu akan diambil berdasarkan bukti kukuh dan siasatan rapi, bukan hanya mendengar cakap-cakap (hearsay).


Pengarang :