SELANGOR

Junjung titah DYMM Sultan, larangan berpolitik di masjid

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 1 MEI: Pimpinan politik di negeri ini diingatkan untuk kekal menjujung tinggi titah DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap larangan berpolitik di masjid dan surau seluruh negeri.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ketetapan itu sebagai jaminan keharmonian dan penyatuan institusi agama Islam di Selangor.

“Saya cukup tekun mendengar pencerahan daripada Pengarah MAIS (MAIS Agama Islam Selangor) yang memetik titah DYMM Sultan Selangor terhadap larangan berpolitik di Masjid dan Surau, lebih-lebih lagi ketika musim pilihanraya ini.

“Namun di peringkat pentadbiran Kerajaan Negeri, kita tidak perlu bimbang kerana saya yakin pimpinan negeri cukup berlapang dada menjunjung titah Sultan itu,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika berucap pada satu majlis di Taman Melawati Gombak, hari ini ini.

Sebelumnya, Pengarah JAIS, Dato’ Haris Kasim dalam ucapannya di majlis berkenaan turut menyarankan supaya parti politik di negeri itu tidak menggunakan masjid dan surau sebagai medium berpolitik.

Ia susulan kebimbangan awam terhadap peningkatan jumlah aduan dan laporan berterusan daripada pengurusan masjid yang mendakwa terdapat calon-calon bertanding berkempen politik di kawasan pusat ibadat umat Islam itu.

“Susulan aduan berkenaan, JAIS telah mengeluarkan perkeliling kepada masjid-masjid dan surau seluruh negeri terhadap larangan berkenaan,” katanya.

Larangan berkenaan turut diyatakan dalam Peraturan 18 (1) dan Peraturan 30 (1) Peraturan-Peraturan Masjid dan Surau Negeri Selangor 2017.

=EZY=


Pengarang :