SELANGOR

Laungan rakyat bergema rai PAKATAN menang

OLEH SYAZWANI SUFIAN

PETALING JAYA, 10 MEI: Laungan rakyat bergema apabila Pakatan Harapan (PAKATAN) berjaya mencipta sejarah menjadi kerajaan baru selepas lebih enam dekad Barisan Nasional (BN) berkuasa.

Sorakan itu dilaungkan ketika berhimpun di Padang Timur, Petaling Jaya menanti keputusan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara langsung sejak jam 7 malam hingga 4 pagi.

Lebih menyemarakkan semangat rakyat apabila Pengerusi PAKATAN, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan terlebih awal bahawa gabungan itu memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Dua orang rakan yang bekerja sebagai Peguam iaitu, Farhana Abdul Halim dan Sasha Lyna Abdul Latif menitiskan air mata kegembiraan atas kemenangan PAKATAN.

“Kami berkempen tiga pilihan raya dan pilihan raya kali ini PAKATAN menang ia adalah pengumuman terbaik untuk rakyat.

“Ini adalah kemenangan rakyat sebab kita percaya bahawa kezaliman itu ada tarikh luputnya maka luputlah kezaliman Barisan Nasional (BN),” katanya kepada Selangor Kini.

Sementara itu, Ikhwan Johan, 33 berkata, semoga dengan berkat doa dan undian yang diberikan rakyat, PAKATAN akhirnya mentadbir sebuah negara yang maju, berdaya saing dan berkebajikan.

“Saya berasa sangat bersyukur kepada Allah SWT kerana hari ini adalah masa yang ditunggu apabila PAKATAN berjaya mencipta sejarah yang sangat gemilang di bumi Malaysia,” katanya.


Pengarang :