NASIONAL

MB: Rakyat Negeri Sembilan tolak BN, tolak amalan perkauman

OLEH HAFIZAN TAIB

SEREMBAN, 8 MEI: Penyertaan rakyat daripada pelbagai bangsa dalam Ceramah Umum KEADILAN di Taman Paroi Jaya, di sini, membuktikan rakyat di negara ini menolak amalan perkauman dimainkan Barisan Naional (BN).

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, rakyat di Negeri Sembilan menunjukkan contoh berbeza dengan sokongan diberikan kepada Pakatan Harapan (PAKATAN) yang menandakan mereka bersedia melakukan perubahan di negeri itu dan negara.

“Umno dan BN bila pilihan raya akan meminta sokongan dengan mangatakan BN kalah, masa depan orang Melayu gelap.

“Tetapi keadaan berbeza malam ini (tadi) dengan orang Melayu duduk sebelah Cina, Cina duduk sebelah India, India duduk sebelah Sikh dan yang lain dengan aman walapun dikatakan ia kawasan Melayu,” katanya dalam program Ceramah Umum Jelajah KEADILAN Harapan di Taman Paroi Jaya, di sini, malam tadi.

Dato’ Menteri Besar Selangor itu berkata, perubahan diyakini akan berlaku selepas pilihan raya umum ke 14 (PRU14) di negeri itu walaupun BN Negeri diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Hassan, melakukan pelbagai usaha bagi mengekalkan kuasa termasuk menggunakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bagaimanapun, katanya, rakyat sebagai kuasa penentu akan membuat keputusan untuk satu perubahan bagi mengecapi masa depan lebih baik pada PRU kali ini.

‘Negeri Sembilan akan jadi seperti Selangor yang mana sudah sepuluh tahun tanpa Umno kerana saya kunci Umno dalam muzium.

“Kemajuan terus diraih dengan semua bangsa selamat dan hidup sebagai keluarga besar menjadi bangsa Malaysia yang penuh bermaruah,” katanya.

Hampir 3,000 hadirin membanjiri tapak program bagi menyatakan sokongan kepada pimpinan PAKATAN dalam PRU ini.

=EZY=


Pengarang :