BERITA UTAMASELANGOR

MB seru rakyat jangan takut buat perubahan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 8 MEI: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyeru seluruh rakyat supaya usah takut melakukan perubahan.

Mohamed Azmin berkata, Pakatan Harapan (PAKATAN) berazam memperjuangkan hak rakyat tanpa mengira kaum.

“Kita memberi jaminan kepada kaum pribumi khususnya Melayu bahawa selagi hayat dikandung badan, segala aspirasi dan hak mereka akan terus dipelihara.

“Saya dan pimpinan lain tidak akan membenarkan sesiapa sahaja, samada dari dalam atau luar menggugat teras agama, bangsa serta tanah air kita,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, segala yang sudah dicapai di Selangor membuktikan keperluan dan layanan adil dapat diberikan kepada semua.

Bagaimanapun, katanya, rakyat akan menentukan samada Malaysia akan terus dijajah oleh kleptokrat atau dipimpin oleh pemimpin berintegriti yang akan mengembalikan maruah negara dan membina sebuah bangsa berwibawa.

“Apakah kita mahu sebuah kerajaan dipimpin oleh manusia yang bergelumang dengan rasuah dan mahu mengekalkan kuasa dengan apa cara sekali pun?.

“Apakah kita mahu kerajaan dipimpin oleh orang memunggah khazanah negara dan menyorok wang rakyat dalam akaun peribadi?,” soalnya.

Mohamed Azmin berkata, rakyat berhak mendapat pemimpin jujur, berintegriti dan peduli rakyat.

Malah, katanya, rakyat sudah tentu tidak mahu kerajaan menjanjikan kekayaan tetapi memiskinkan mereka melalui hutang 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dan melupuskan nilai aset negara seperti Felda serta menggadai kedaulatan negara.

“Apakah kita mahu terus memikul beban GST yang dipaksakan oleh Barisan Nasional (BN) semata-mata supaya pemimpin korup menikmati kemewahan di atas kesusahan rakyat?

“Sudah pasti tidak. Sebaliknya, kami berjanji akan menghapuskan GST, cukai yang menghisap darah rakyat. Kita akan memerdekakan rakyat daripada belenggu ini,” katanya.

Katanya, Barisan Nasional (BN) cuba menakutkan rakyat kononnya perubahan membawa musibah dan kemusnahan hubungan antara kaum dan agama.

“Namun, Selangor membuktikan semua tohmahan ini adalah palsu.

“Perubahan membawa kebaikan kepada rakyat keseluruhannya. Selangor membuktikan rakyat terus hidup dalam rukun dan damai.

“Impaknya, negeri terus makmur malah dapat menarik pelaburan dan pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, segalanya terserah kepada rakyat samada mahu maju ke hadapan atau mundur ke belakang.

“Ia adalah pilihan antara demokrasi berpelembagaan, pemerintahan mengikut undang-undang dan keadilan dengan pemerintahan kleptokrasi, nafsu manusia serta kezaliman.

“Maka, saya menyeru kepada semua untuk mengundi calon PAKATAN. Undilah dengan penuh keyakinan dan jiwa yang murni. Undilah untuk membuat perubahan di peringkat persekutuan,” katanya.


Pengarang :