PBTSELANGOR

MDSB kaji pindah tapak bazar Ramadan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 MEI: Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) bersedia mempertimbangkan permohonan peniaga bazar Ramadan di dua lokasi berpindah ke tempat lain bagi mengurangkan risiko kacau ganggu.

Penolong Pegawai Komunikasi Korporatnya, Noraini Ahmad berkata, ia ekoran terdapat rungutan daripada peniaga berhubung kekurangan pelanggan hingga menjejaskan pendapatan peniaga.

Katanya, dua lokasi itu membabitkan tapak A di kawasan parkir sebelah Pasar Awam Sungai Besar dan tapak C, di Dataran Tonggak 10.

“MDSB mengambil maklum keluhan peniaga yang mahu berpindah ke lokasi lain kerana dikatakan tidak selamat dan terganggu,” katanya.

Beliau berkata, terdapat tiga tapak bazar Ramadan dibuka tahun ini, termasuk sebuah lagi tapak B di Jalan Bunga Matahari yang juga menempatkan medan selera.

“Kewujudan tiga tapak ini dibuat ekoran keluhan segelintir peniaga tapak A yang mengadu perniagaan mereka kurang laku dan tiada sambutan.

“Selain itu, masalah kesesakan lalu lintas di jalan besar berdekatan simpang masuk ke Jalan Stadium turut dihadapi kerana terdapat perumahan dan pasar raya yang menyukarkan penduduk menggunakan jalan itu,” katanya.


Pengarang :