NASIONAL

PAKATAN tadbir dengan adil, bebas agensi kerajaan – Anwar

OLEH HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 17 MEI: Pentadbiran penuh keadilan akan dirintis Pakatan Harapan (PAKATAN) dengan agensi kerajaan dibebaskan bagi menjalankan khidmat bakti kepada rakyat.

Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, parti itu tidak akan mengulangi pendekatan Barisan Nasional (BN) yang membawa kemudaratan kepada negara dengan pelbagai penyelewengan berlaku di sepanjang tempoh pentadbirannya.

“Kuasa rakyat menentukan dengan saudara boleh mengatur Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat berfungsi dengan adil dan badan kehakiman tidak menzalimi pihak tidak bersalah .

“Cukup, segalanya telah berakhir. Tiada lagi rasuah, ugutan dan lainya kerana kini kita memasuki era baharu untuk Malaysia,” katanya dalam Himpunan Merdeka Rakyat di Padang Timur Amcorp Mall, di sini, malam tadi.

Beliau berkata, perubahan terhadap pemerintahan di Putrajaya selepas pilihan raya umum ke 14 (PRU14) membuktikan rakyat tidak lagi dapat menerima langkah dipraktikkan itu.

Katanya, kini ruang perlu diberikan sepenuhnya kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk perubahan itu dengan dibantu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta menteri lain bagi menjalankan tugas dengan baik.

“Rakyat berhak menolaknya sekiranya berlaku penyelewengan kerana mandat diberi bagi membela nasib rakyat,” katanya.

Turut hadir dalam himpunan itu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan pimpinan PAKATAN lain.


Pengarang :