NASIONALSUKANKINI

Pemain badminton negara fail rayuan hari ini

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 21 MEI: Pemain badminton negara, Tan Chun Seang, yang digantung daripada menyertai sebarang pertandingan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) membabitkan aktiviti mengatur perlawanan, pertaruhan dan menentukan keputusan perlawanan memfailkan rayuan kepada BWF, pagi ini.

Peguamnya, Kit Foong berkata, terdapat dua perkara yang diutarakan melalui rayuan itu termasuk sabitan kesalahan dan kesangsian berhubung hukuman yang dijatuhkan terhadap Chun Seang.

“Mengikut peruntukan undang-undang BWF, pemain mempunyai hak untuk melantik salah seorang ahli panel rayuan dalam tempoh 14 hari. Jadi, kami juga akan melantik panel yang difikirkan bersesuaian untuk kes Chun Seang selain memfailkan rayuan, pada pagi ini,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Sementara itu, Chun Seang melalui kenyataan medianya berkata, beliau mengarahkan peguamnya memfailkan rayuan kepada BWF terhadap keputusan mendapati pihaknya bersalah dan sudah dijatuhkan hukuman, pada 27 April lalu.

Beliau yakin, Panel Rayuan BWF akan memastikannya mendapat pendengaran saksama dan penelitian maksima semula yang adil ke atas kes terbabit.

“Saya juga menanti peluang diberikan oleh Panel Rayuan BWF untuk membentangkan rayuan menurut prinsip prosedur keadilan mantap sedunia yang diamalkan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS),” katanya.

Sebelum ini, Zulfadli Zulkiffli dan Chun Seang dijatuhi hukuman gantung 20 juga 15 tahun daripada sebarang aktiviti membabitkan sukan badminton selepas mereka disabitkan dengan dakwaan mengatur perlawanan.

Hukuman itu boleh dianggap memusnahkan terus karier kedua-dua pemain itu, dalam badminton.

Zulfadli didapati bersalah kerana terbabit dengan 27 kes mengatur perlawanan, manakala Chun Seang terbabit dengan 26 kes.

Selain digantung daripada menyertai sebarang aktiviti berkaitan badminton, dua pemain profesional itu masing-masing turut didenda AS$25,000 (RM98,162) dan AS$15,000 (RM58,897).

Kedua-dua pemain itu didapati bersalah selepas sebuah panel bebas dilantik BWF membicarakan kes mereka di Singapura, pada Februari lalu.


Pengarang :