SELANGOR

Pengalaman ahli majlis matangkan Wai Chong

OLEH NADIAH ZAMLUS

AMPANG, 3 MEI: Berkhidmat sebagai Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) selama enam tahun mematangkan calon N22 Teratai, Lai Wai Chong.

Katanya, pengalaman itu membuatkannya tidak terlalu gugup setelah terpilih untuk menggalas tanggungjawab di Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai.

“Ketika turun padang memang sudah ada yang mengenali saya dan ada yang mengatakan ‘you confirm menang’, namun itu tidak melalaikan saya kerana tanggungjawab ini adalah besar.

“Lebih berat lagi apabila saya perlu mempertahankan kedudukan DUN Teratai yang dahulu dimenangi DAP,” katanya kepada SelangorKini.

Kerusi DUN Teratai sebelum ini disandang Tiew Way Keng (DAP) dengan undi 23,578, pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Teratai antara kerusi yang dimenangi Pakatan Harapan (PAKATAN) dengan majoriti besar, iaitu 13,646.

Wai Chong berkata, kerja berkumpulan antara perkara penting bagi membolehkan PAKATAN memenangi hati pengundi, di Teratai sekali lagi.

Beliau turut mengakui ia bukan perkara mudah untuk mengambil hati 52,256 pengundi yang kini berada di dalam DUN berkenaan.

“Waktu berkempen ini sangat penting kerana pada masa inilah saya dapat mengetahui masalah disuarakan pengundi dan saya akan berusaha sebaiknya untuk memastikan ia dapat diselesaikan jika rakyat memberi mandat pada PRU14,” katanya.


Pengarang :