SELANGOR

TPM: Kerajaan tak akan zalim penjarakan orang tak bersalah

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 17 MEI: Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN) tidak sesekali menzalimi mana-mana pihak dengan memenjarakan orang tidak bersalah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, apa yang dilalui suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak wajar dilalui oleh rakyat yang bermaruah.

“Kita tak boleh jadi zalim penjarakan orang tak bersalah dengan suka hati,” kata Wan Azizah pada Himpunan Merdeka Rakyat di Padang Timur, malam tadi.

Beliau berkata, Kerajaan PAKATAN sama sekali tidak boleh mengulangi apa yang dilakukan kerajaan era Barisan Nasional (BN).

Katanya, setiap individu di negara ini berhak mendapat pembelaan yang adil.

Wan Azizah turut mengulangi sokongannya kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berusaha mendapatkan pengampunan penuh untuk Anwar.

Semalam, Anwar dibebaskan daripada tahanan penjara setelah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V menitah perkenan bahawa rayuan pengampunan penuh ke atas Anwar dibenarkan dan diberi pembebasan serta-merta.

Sebelumnya, Lembaga Pengampunan Diraja mengesahkan pembebasan Anwar yang dibuat tanpa sebarang syarat, di Hospital Rehabilitasi Cheras, Kuala Lumpur tepat jam 11.30 pagi ini.

Sejurus pembebasannya, beliau dilapor ke Istana Negara, menghadap Seri Paduka Agong, bagi menzahirkan penghargaan Anwar ke atas pembebasannya.


Pengarang :