NASIONAL

Tun M: Hanya pertemuan biasa dengan Sultan Brunei

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 14 MEI: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan pertemuan bersama Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah sebagai pertemuan biasa.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia merupakan pertemuan biasa selepas beliau dilantik sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), baru-baru ini.

“Ini pertemuan biasa. Sultan Brunei datang berjumpa saya selepas dilantik menjadi Perdana Menteri, walaupun kita belum mempunyai Menteri lain lagi,” katanya dalam sidang medianya.

Pagi tadi, beliau menyambut ketibaan Sultan Brunei yang diiringi anakandanya Putera Abdul Mateen Hassanal Bolkiah.

Sultan Brunei memandu sendiri kenderaan tiba sekitar jam 11.48 pagi di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.

Pertemuan kedua pemimpin berlangsung sejurus selepas Dr Mahathir mempengerusikan mesyurat bersama Ketua Setiausaha kesemua Kementerian bagi menerangkan fungsi dan peranan kerajaan baru.

Sehari selepas Pakatan Harapan (PH) menang majoriti kerusi Parlimen PRU14, Tun M secara rasminya mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-7.

Istiadat majlis itu diadakan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara, pada 10 Mei lalu.

Tun M mencipta sejarah negara sebagai Perdana Menteri yang dilantik buat kali kedua mengikut sistem demokrasi dan Perlembagaan Malaysia.

Malah, usia Tun M yang mencecah 93 tahun pada tahun ini menjadi perdana menteri tertua dalam sejarah Malaysia dan dunia.

Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN) itu mengetuai gabungan parti komponen terdiri daripada KEADILAN, DAP, Amanah, Bersatu dan Warisan membentuk kerajaan selepas menang majoriti 122 daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.


Pengarang :