BERITA UTAMASELANGOR

Umat Islam Malaysia jadi bukti kejayaan reformasi tulen

OLEH NADIAH ZAMLUS
SHAH ALAM, 17 MEI: Umat Islam di Malaysia menjadi bukti bahawa dunia Islam mempunyai upaya untuk melakukan perubahan secara aman demi menegakkan keadilan dan melaksanakan reformasi tulen.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, buktinya buat pertama kali dalam sejarah, tahun ini umat Islam di Malaysia menghayati Ramadan selepas kejayaan menumpaskan kleptokrat secara aman dan teratur melalui proses demokrasi.
Katanya, perubahan itu didorong oleh semangat untuk menjayakan prinsip keadilan dan ihsan serta fastabiqul khairat (berlumba-lumba melakukan kebaikan).
“Semoga apa yang berlaku ini mempertingkatkan darjat karamah insaniyyah serta memperkukuhkan keyakinan kita untuk terus istiqamah dalam perjuangan untuk menegakkan keadilan,” katanya melalui perutusan bulan Ramadan kepada SelangorKini.
Mohamed Azmin berkata, Ramadan adalah bulan yang menjanjikan seribu rahmat buat seluruh umat Islam, malah pintu keampunan oleh ALLAH SWT dibuka seluas-luasnya.
“Barangsiapa yang berpuasa dan bersolat pada malam Lailatul Qadar dengan penuh iman serta berazam bersungguh-sungguh, ALLAH SWT akan mengampun dosanya yang telah lalu.
“Ramadan juga mengajar kita erti tawaduk. Kita dididik untuk terus istiqamah melakukan kebaikan, mempertingkat kebajikan dan lebih empati terhadap golongan miskin dan mereka yang memerlukan. Kita harus menepati janji-janji kita dan menghormati amanah yang diletakkan, serta tegas menolak godaan dan penyalahgunaan kuasa,” katanya.

Pengarang :