NASIONAL

Ambil iktibar ‘kemusnahan’ Umno

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 25 JUN: Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu mengingatkan pimpinan parti itu untuk mengambil iktibar terhadap kejatuhan Umno yang sedang berlaku.

Beliau berkata, kelalaian pimpinan Umno terhadap amalan politik wang menjadi punca keruntuhan parti ketuanan Melayu itu.

“Kita menang kerana kita tiada duit, Umno kalah kerana mereka ada duit.

“Sekarang ketika kita memegang tampuk pentadbiran, jangan pula kita menjadi seperti mereka.

“Jadikan kejatuhan mereka itu sebagai iktibar untuk kita,” katanya ketika berucap pada Rumah Terbuka AMANAH, di Stadium Shah Alam, semalam.

Hadir sama, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan pimpinan Exco Kerajaan Negeri, iaitu Ir Izham Hashim, Haniza Talha dan Dato’ Abdul Rashid Asari.

Mohamad Sabu turut mengulas isu perpecahan yang berlaku dalam GERAKAN, yang juga parti komponen Barisan Nasional (BN).

Katanya, kemusnahan itu membuktikan penolakan berterusan rakyat terhadap parti berkenaan.

“Dulu Umno kuat, ada parti itu, parti ini. Sekarang bila GERAKAN sudah keluar dan tidak lagi bersama mereka, kita perlu jadikan iktibar perkara ini,” katanya.

Terdahulu, GERAKAN sebulat suara mengumumkan keluar dari BN untuk menjadi parti bebas menerusi mesyuarat Jawatankuasa Pusat GERAKAN (CGC).


Pengarang :