SASTERA

Berita Tentang Kematianmu

(buat Apai)

 Pandanganku seolah-olah ingin menembus dinding

konkrit putih yang sedang di hadapanku ini

dan meresap ke dalam rohmu ketika ia dibawa pergi.

 

Tak ada berita tentang kematianmu pagi itu.

Serba-serbi terlalu sunyi; tetapi kesayanganmu

sedar dan merasakan (walaupun tak dapat menerima)

bahawa kau perlahan-lahan didorong semakin jauh.

 

Aku bertanya kepada Sang Pangeran

(tentulah tanpa satu getus apa pun)

mengapa nyawa orang-orang yang baik

selalu dipanggil pulang terlalu awal?

 

Jawapannya sama seperti yang sudah kita jangkakan;

dinding tetap putih dan suaranya bergemuruh di langit.

Kami terpinga-pinga. Isterimu bertakung air mata

dan anak-anakmu—aku hanya berani melihat semua

sengsara batin itu dari dalam khayal fikiran semata-mata.

Di tempat kita pernah hirup udaranya bersama ini, aku enggan.

 

Bilah gunting yang pernah memotong helai-helai rambutku

dari berpuluh tahun dahulu terasa kembali melekat di kepala.

Bersama hangat tanganmu dan sekali-sekala

air keringat yang terjatuh ke lengan dan kaki.

 

Pagi-pagi yang dilalui dahulu tak pernah sebisu ini.

Nyanyian Kristus yang selalu kau lagukan, diiring gitar

yang sama sempat menghajar jari-jemariku menari

terngiang sayup ditelingaku dalam rentak canggung.

Aku melihat hujung jariku yang melecet dan berdarah;

mencari darahmu yang terpalit entah ke mana.

 

Gambar di waktu persiapan perjalanan terakhirmu

mengingatkan aku pada… tak terdaya diungkap segala.

Memandang wajahmu yang dilekat di hadapan van

adalah seperti melihat cermin di masa-masa yang dulu;

tetap bersih walau penuh tanda tanya dan ragu-ragu.

 

Gelung filem dalam ingatanku mundur panjang;

tiba ke jendela waktu ketika kita sama-sama hingusan

— yang bengkeng, bukan yang biasa-biasa.

Elok dibenam saja dan jangan dikenang-kenang.

 

Apa khabar kawan, di negeri jauh itu?

Berehatlah dahulu, kau mungkin sedang lelah.

Izinkan kami untuk terus memikul beban jiwa di sini.

Semoga ada do(s)a yang melindungi kita.

 

Hafiz Hamzah


Pengarang :