NASIONAL

Gobind mahu jumpa Astro minggu depan perbaiki perkhidmatan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 JUN: Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo akan bertemu dengan wakil Astro minggu depan bagi berbincang mengenai perkhidmatan rangkaian televisyen berbayar itu.

Gobind berkata, pertemuan itu diadakan berikutan aduan orang ramai mengenai mutu perkhidmatan Astro.

“Ramai yang mengadu berkenaan perkhidmatan Astro. Saya telahpun menjemput wakil mereka ke pejabat saya untuk bincang perkara-perkara yang dibangkitkan minggu depan,” katanya menerusi laman twitter peribadinya semalam.

Beliau berkata demikian bagi membalas mesej seorang pengguna Twitter ‘@NPeriasamy5’ yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan Astro yang dilanggannya.

Pengguna itu mendakwa dia tidak berpuas hati dengan cara Astro melayani aduannya walaupun selepas dia beberapa kali menghantar tweet kepada syarikat berkenaan.

“Sejak beberapa hari lalu cuba selesaikan masalah dekoder rosak tetap mereka langsung tidak peduli. Lebih menyakitkan hati lagi apabila Astro mahu mengenakan caj perkhidmatan sebanyak RM61!,” katanya.

Rentetan daripada twitter tersebut, lebih ramai pengguna laman sosial berkenaan mengadu isu perkhidmatan Astro yang menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pelanggannya.

=EZY=


Pengarang :