SELANGOR

Henti spekulasi calon MB

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 8 JUN: Semua pihak digesa supaya tidak mengeluarkan sebarang spekulasi atau kenyataan terbuka memetik mana-mana individu berkelayakan bagi menggantikan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Pendirian tegas itu dinyatakan Exco Kerajaan Negeri, V Ganabatirau yang menuntut agar isu berkenaan tidak diperbesarkan lagi.

Baginya, pucuk pimpinan negeri kekal berpegang kepada prinsip dan semangat Pakatan Harapan (PAKATAN) diyakini mampu meleraikan desas-desus pengganti, Mohamed Azmin.

“Atas semangat dan dasar PAKATAN yang dianggotai komponen parti politik DAP, Amanah dan Parti Pribumi Bersatu secara terbuka memberi sokongan bahawa calon Menteri Besar baru adalah dari KEADILAN.

“Semangat ini akan kita pegang dan sebagai rakan dalam PAKATAN, saya percaya pimpinan tertinggi KEADILAN mempunyai calon yang baik.

“Tentunya calon itu adalah seorang wakil rakyat KEADILAN yang mampu menggalas tugas sebagai Dato’ Menteri Besar, sebagaimana yang sudah dilaksanakan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali,” katanya kepada SelangorKini.

Media sebelum ini melaporkan beberapa nama wakil rakyat KEADILAN yang disebut berpotensi menerajui kepimpinan negeri, selepas Mohamed Azmin melepaskan jawatannya, Aidilfitri ini.

Antara nama yang disebut termasuklah dua Exco Kerajaan Negeri, Amirudin Shari dan Shaharuddin Badaruddin.

Turut dinamakan, Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras; Mohd Khairuddin Othman, Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Suhaimi Shafiei.

Terbaru, wakil rakyat Ijok, Dr Idris Ahmad yang juga merupakan Ahli Dewan Negeri paling senior Selangor juga dinamakan dalam senarai itu.

Bagaimanapun, kata Ganabatirau, senarai nama berkenaan tidak dinyatakan secara jelas dan hanya bersifat sumber semata-mata.

“Memang di peringkat pentadbiran negeri pun, ada nama-nama calon itu disebut. Namun, semua itu dilapor dalam bentuk sumber sahaja.

“Semuanya kita tunggu selepas Aidilfitri ini,” katanya.

 


Pengarang :