BERITA UTAMAPENDIDIKANSELANGOR

Kerajaan Negeri salur RM87.2 juta pembangunan KUIS

OLEH HAFIZAN TAIB

BANDAR SERI PUTRA, 5 JUN: Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan lebih RM87.2 juta kepada Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) bagi pembangunan prasarana dan kemajuan akademik kolej berkenaan.

Rektor KUIS, Prof Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata, Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, sentiasa menyokong KUIS demi melihat kolej itu masyhur sebagai sebuah institusi pengajian Islam tersohor.

“Kerajaan Negeri memperuntukkan RM48.5 juta bagi menaik taraf serta memulihkan infrastruktur sedia ada seperti bangunan akademik baharu telah mula dibina tahun ini dan juga RM8 juta melalui peruntukan perbelanjaan modal (CAPEX) tahun lau bagi menaik taraf fasiliti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) serta Kemudahan Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) selain bangunan KUIS yang uzur kerana mencecah usia 23 tahun.

“Bantuan Sara Diri Selangor turut memberi manfaat kepada 433 pelajar dengan sumbangan RM663,200, Bantuan Biasiswa Selangorku pula kepada 474 pelajar (RM16.7 juta).

“Kerajaan Negeri juga menyumbang RM16.2 juta kepada KUIS melalui Tabung Tahfiz Al-Quran dan Al-Qiraat yang memberi manfaat kepada 3,006 pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Aidilfitri Bersama Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Masjid Al-Azhar, KUIS, di sini, semalam.

Dr Ab Halim berkata, hasil kepercayaan masyarakat secara amnya membantu meningkatkan jumlah semasa pelajar KUIS ketika ini seramai 10,153 orang dan pada tahun ini bakal melahirkan 1,968 graduan dalam pelbagai bidang iaitu jumlah kelahiran graduan teramai berbanding tahun sebelumnya.

“Buat pertama kali, KUIS akan melahirkan dua graduan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Islamiyyat yang membuktikan KUIS mampu melakukannya seiring perkembangan semasa dunia Islam.

“KUIS telah menawarkan beberapa program baharu seperti Asasi Bahasa Inggeris, Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Industri Halal dan Sarjana Muda Syariah dengan Muamalat,” katanya.

Beliau berkata, KUIS telah membuktikan sebagai sebuah institut pengajian tinggi Islam semakin dikenali dan banyak pihak luar ingin menjalin kerjasama dengannya.

“Tahun ini, KUIS akan melebarkan sayap pembelajaran ke Sabah dan Sarawak,” katanya.

Turut hadir bersama Sultan Selangor dalam majlis itu, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Shaharuddin Badaruddin; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim dan hadirin lain.

=EZY=


Pengarang :