SELANGOR

MB santuni 2,000 penerima bantuan raya di Gombak

OLEH NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 2 JUN: Masyarakat kurang berkemampuan di kawasan Gombak tidak pernah dilupakan setiap kali menjelang musim perayaan apabila kira-kira 2,000 penduduk di kawasan itu diberi bantuan sempena aidilfitri kali ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sumbangan itu merupakan tradisi tahunan di parlimen yang diwakilinya itu.

“Ini memang program tradisi sejak beberapa tahun lalu di mana dalam bulan Ramadan ini khususnya menjelang sambutan aidil fitri kita akan menyantuni golongan asnaf, fakir dan misikin untuk memberi sumbangan sebagai rasa kasih dan hormat kepada warga yang memerlukan.

“Alhamdullilah usaha ini dapat diteruskan di mana kita memberi sumbangan kepada penduduk di Parlimen Gombak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Hari Raya di Masjid At Taqwa Selayang Baru di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, sumbangan itu merupakan sumbangan tanggungjawab sosial oleh Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI Selangor).

Terdahulu, dalam program yang dijalankan hari ini, Mohamed Azmin singgah di sembilan buah masjid dan surau yang berada di Gombak.

Jelajah penyerahan sumbangan itu turut melibatkan empat buah masjid dan surau di sebelah petang.

Masjid dan surau itu melibatkan Masjid As-Syakirin Batu 6 Gombak, Surau Al-Ikhwan Taman Samudera, Masjid Nakhoda Batu Caves dan Masjid At-Taqwa Selayang Baru.

Selain memberi sumbangan kepada golongan memerlukan, MBI turut memberi sumbangan kepada masjid-masjid dan surau-surau.

=EZY=


Pengarang :