SELANGOR

Pasukan Ikatan Desa Selangor bakal terima insentif

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 8 JUN : Kerajaan Negeri mempertimbang untuk menyalurkan insentif kewangan kepada pasukan keselamatan, Ikatan Desa dalam tempoh terdekat.

Exco Pemberdayaan Generasi Muda & Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa Dan Kampung Tradisi, Amirudin Shari berkata, peranan pasukan itu juga akan dikaji.

“Pasukan Ikatan Desa akan diteruskan dan Kerajaan Negeri akan meneliti semua perlaksanaan kursus dan insentif yang akan diberikan.

“Tumpuan utama adalah faktor keselamatan dan kerjasama akan ditumpukan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas hala tuju pembangunan masyarakat kawasan pinggir bandar dan desa, selepas perubahan porfolio negeri berkuatkuasa Mei lalu.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, penyediaan pasukan keselamatan Ikatan Desa dilaksana bagi memastikan isu keselamatan penduduk terjamin.

Usaha itu dizahirkan pentadbiranKerajaan Negeri menerusi peruntukan kewangan RM3.68 juta yang disalurkan melibatkan aspek keselamatan 368 kampung seluruh negeri.

Mohamed Azmin berkata, peruntukan itu adalah bagi bantuan kewangan dan sesi latihan kepada anggota pasukan berkenaan yang akan mengawal isu keselamatan warga desa.


Pengarang :