KENYATAAN MEDIANASIONAL

Perutusan Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri

Alhamdulillah kita panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana masih diberikan kesempatan merayakan Aidil Fitri pada tahun ini.

Umat Islam di seluruh dunia menyambut Aidil Fitri sebagai hari kemenangan.

Minal aa’idin wal faizin wal maqbulin adalah ungkapan yang selalu dilafazkan oleh umat Islam semasa menyambut Aidil Fitri.

Ungkapan ini bermaksud semoga kita tergolong dalam golongan yang kembali kepada fitrah dengan memperolehi kemenangan serta diterima amalan dan segala kebaikan.

Merayakan kemenangan dengan penuh kesyukuran dan Tawaddu’ adalah amalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w.

Kemenangan yang diperolehi hari ini adalah hasil setelah berpuasa selama sebulan dengan penuh kesabaran dan ketabahan.

Kemenangan akan lebih bermakna jika kita dapat menjadi insan yang istiqamah dalam mengekalkan kekuatan yang telah kita perolehi dari sebulan berpuasa dan gunalah kekuatan ini untuk membina kesejahteraan dan keadilan sesama manusia dan mengukuhkan negara.

Jadikanlah kemenangan dalam Ramadhan yang berlalu sebagai satu latihan yang mematangkan dan menguatkan jiwa kita.

Saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua rakyat Malaysia dan Umat Islam di serata dunia.

Minal aa’idin wal faizin wal maqbulin.

Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Timbalan Perdana Menteri Malaysia


Pengarang :