Suasana di Penjara Kajang pada 2 April 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATPILIHAN MINGGUANRENCANA

Lapan tahun Syawal di penjara, bekas penagih dadah azam tebus kesilapan

Dalam dingin subuh hatiku terusik
Kenang nasib diri di rantauan
Bergema takbir raya menitis air mata
Terbayang suasana permai desa

Lantunan suara banduan Hazif (bukan nama sebenar) menyanyikan lagu raya Dari Jauh Ku Pohon Maaf oleh Datuk Sudirman Arshad cukup menggambarkan kerinduannya beraya bersama keluarga di kampung halaman.

Anak jati Ampang, Selangor itu dikenakan hukuman penjara 14 tahun atas kesalahan penyalahgunaan dadah mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1956.

Mula menjalani hukuman penjara sejak 2017, bapa kepada dua anak ini perlu menghabiskan baki dua tahun lagi tempoh hukuman.

Tahun ini kali kelapan bekas pembantu kesihatan hospital kerajaan ini menyambut lebaran di penjara. Ia membuatkan perasaan rindu akan suasana meriah beraya bersama anak-anak dan ibu di kampung halaman makin membara.

Hazif ketika ditemu bual Media Selangor di Penjara Kajang pada 2 April 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Namun Hazif yang berumur 36 tahun merasa terkilan berikutan tidak dapat memohon kemaafan bapanya yang meninggal dunia pada September tahun lepas.

Meski diberi kelonggaran oleh pegawai penjara untuk menatap wajah arwah bapa sebelum disemadikan, namun dia enggan ke tanah perkuburan kerana tidak mahu memalukan anggota keluarga lain.

“Pegawai di sini memang ambil berat, banyak kali tanya saya tak nak pergi ke (ziarah arwah ayah kali terakhir)? Saya yang tak nak pergi.

“Saya takut kalau saya pergi saya mengaibkan dia. Orang akan bercakap anak dia ini, anak dia itu, bila tengok saya seorang banduan.

“Terkilan itu memang ada tetapi di dalam (penjara) ini membuatkan saya belajar suatu benda. Jasad sudah memang tetap macam itu tetapi yang penting kita doakan rohnya,” katanya dengan nada sebak.

Anak ketiga daripada enam beradik itu berkata sebelum bapanya meninggal, dia sering berhubung melalui telefon bertanya khabar meski tujuh tahun tidak beraya bersama kerana hukuman penjara.

Hikmah terkurung

Ingatannya juga masih segar apabila terkenangkan gelagat bapanya yang sangat teruja ketika kali pertama menyambut kepulangannya bersama bekas isteri untuk beraya di kampung.

Hazif juga menyimpan hasrat untuk menziarahi kubur bapanya apabila bebas daripada penjara kelak.

Akibat hukuman penjara juga, rumah tangga Hazif berkecai. Bagaimanapun dia tidak menyalahkan bekas isterinya dan masih menjalin hubungan baik demi anak-anaknya.

“Saya buat silap, sayalah kena tanggung hukuman ini, kenapa nak heret dia? Dia ada kehidupan dia. Tiap-tiap minggu saya selalu telefon bekas isteri untuk bercakap dengan anak-anak. Paling tak tahan bila anak tanya bila boleh balik. Anak tua darjah tiga, bongsu darjah satu.

“Anak bongsu juga lahir masa saya di dalam (penjara). Saya kena tangkap, sebulan kemudian isteri bersalin. Cuma sekali tengok masa dia baru lahir,” katanya.

Walau terkurung sepanjang masa, namun ada hikmah buat Hazif. Berbeza ketika sebelum dipenjara, kini dia tidak pernah meninggalkan puasa selain berjaya khatam al-Quran setiap tahun.

Dia juga bersyukur kerana masih mempunyai ibu, adik beradik dan kawan-kawan yang sering melawatnya sama ada ketika sambutan raya mahupun pada hari biasa.

Suasana di Penjara Kajang pada 2 April 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Setiap malam Hazif memikirkan angan-angannya mahu menjaga ibu dan anak-anak apabila dibebaskan. Malah dia juga mahu meluangkan masa melepak dengan rakan-rakan yang masih menyokongnya.

Tekadnya mahu berubah dan membuktikan banduan sepertinya boleh menyumbang dan berbakti kepada masyarakat.

“Nasihat saya jangan cuba-cuba dekati jenayah. Dadah ke apa, jangan sesekali cuba. Jangan ikut hati perasaan atau ikut orang sekeliling yang bawa pengaruh tidak baik.

“Kalau boleh bawa dia ke arah kebaikan, nasihat dia tetapi kalau tak boleh tinggalkan sebab kalau dah jadi macam ini, kita tak boleh salahkan orang lain ke atas apa yang kita dah buat. Kita dah buat, kita tanggung. Diri kita, tanggungjawab kita,” katanya.


Pengarang :