Orang ramai membanjiri rumah terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri daerah Hulu Langat di Taman Sri Nanding, Kajang pada 5 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Persembahan artis, aneka juadah menanti pengunjung rumah terbuka Aidilfitri esok

SHAH ALAM, 26 APRIL: Ratu rock negara Ella, penyanyi muda terkenal Naim Daniel dan Sarah Suhairi antara artis yang bakal menghiburkan tetamu rumah terbuka Aidilfitri di Bandar Kuala Kubu Bharu (KKB), esok.

Bermula 8 malam, acara tahunan anjuran Kerajaan Negeri turut diserikan dengan celoteh deejay Suria FM, Feeya Iskandar atau lebih dikenali sebagai Cik Piah.

“Marilah bersama-sama dengan kepimpinan Kerajaan Negeri dan Persekutuan dan rakyat khususnya meraikan Aidilfitri mulia di rumah terbuka Kerajaan Selangor. Jumpa di sana,” kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi media sosialnya.

Sementara itu, Menurut Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor program Riuh Raya #KitaSelangor turut menghidangkan pelbagai juadah hari raya.

“Antara yang menarik ialah hidangan pelbagai juadah hari raya, persembahan artis terkenal, pemberian duit raya dan pertunjukan bunga api.

“Apa tunggu lagi, jom sama-sama kita meriahkan Rumah Terbuka Riuh Raya #KitaSelangor 2024!! Jumpa di sana,” tulis agensi itu di Facebook.

Selain itu, reruai hebahan Iltizam Selangor Penyayang (ISP) turut dibuka kepada pengunjung bagi memudahkan mereka memohon secara terus inisiatif itu pada hari berkenaan.

Keunikan dan warisan sejarah dimiliki KKB antara faktor bandar berkenaan dipilih sebagai lokasi rumah terbuka kali ini, menurut timbalan setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan)

Dato’ Mohd Yazid Sairi menjelaskan kawasan itu juga mempunyai pelbagai tarikan pelancongan yang boleh memikat pengunjung ke sana.

Sambutan tersebut boleh ditonton dalam YouTube SelangorTV dan semua media sosial Media Selangor.


Pengarang :