AGAMASELANGOR

Qayyim juara Tilawah Al Quran Braille 2018

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 9 JUN: Qari Orang Kelainan Upaya (OKU) Penglihatan, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi dinobatkan sebagai Juara Majlis Tilawah Al-Quran Braille 2018 Peringkat Kebangsaan.

Pemuda berusia 20 tahun itu memenangi kategori terbuka dengan bacaan surah Muhammad ayat 12 – 19, membawa pulang wang tunai RM1,750, plak, sijil penyertaan dan senaskah al-Quran.

Manakala, Qari Kuala Lumpur, Mohd Syafiizwan Mohd Suhaimi memenangi tempat kedua dan ketiga Qari Kelantan, Abdul Majid Mohd Yusof.

Kategori kanak-kanak pula diungguli Nur Adriana Ab. Murak dengan bacaan surah Ali Imran ayat 101 – 115 menewaskan Adam Zakaria Mohd Fakhruddin dan Alya Maisarah Nuzan dimana masing-masing berasal dari Terengganu.

Kesemua pemenang membawa pulang wang tunai, plak, sijil penyertaan dan senaskah al-Quran.

Hadiah disampaikan Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Mastura Muhamad dan Pengarah Urusan KL Braille Resources, Dato’ Mah Hassan Omar di Perpustakaan Tun Raja Uda, Shah Alam, di sini, hari ini

Majlis Tilawah Al-Quran Braille Peringkat Kebangsaan merupakan penganjuran kali ke 5 Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Insan Sains, Teknologi dan Inovasi bersama PPAS dan KL Braille Resource Sdn Bhd.

Seramai 10 peserta dari seluruh negeri menyertai pertandingan itu bagi kategori terbuka, manakala tiga orang bagi kategori kanak-kanak.

Mastura berkata, Kerajaan Negeri menyumbangkan kira-kira RM30,000 bagi menjayakan program itu.

Katanya, ia merupakan kesinambungan sambutan World #QuranHour yang dilaksanakan pada 7 Jun lalu.

“Kita berharap kesemua perpustakaan awam di seluruh Malaysia dapat melaksanakan program seperti ini kerana ia dilihat sebagai satu landasan terbaik untuk OKU penglihatan mencungkil bakat dalam bacaan al-Quran,” katanya.


Pengarang :