PENDIDIKANSELANGOR

Selangor komited martabat pendidikan tahfiz

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 4 JUN: Kerajaan Selangor sentiasa komited memartabatkan pendidikan tahfiz, sekali gus memenuhi hasrat melahirkan huffaz berkebolehan menjadi pemimpin dan ikutan masyarakat.

Exco Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin berkata, Selangor bukan sahaja maju dalam pembangunan ekonomi tetapi pembangunan akhlak dan sahsiah melalui penghayatan al-Quran.

“Sememangnya diakui, Selangor mempunyai ramai golongan profesional terdiri daripada jurutera, doktor, arkitek, akuantan dan peguam, namun semakin sukar untuk kita mencari golongan profesional Muslim yang mampu menghafaz, sekali gus menghayati al-Quran dalam kehidupan seharian.

“Inilah generasi unggul yang ingin kita lahirkan bagi membantu memacu kemajuan dan kesejahteraan Selangor sebagai sebuah negeri idaman iaitu maju, sejahtera serta berkebajikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Ijtimak Huffaz Negeri Selangor 2018 anjuran Persatuan Institusi Tahfiz Negeri Selangor (PITAS) dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan Islam Selangor (JPPI MAIS) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, petang semalam.

Pada masa sama, katanya, Kerajaan Negeri berharap pihak pengurusan tahfiz sentiasa memastikan suasana persekitaran pembelajaran berada dalam keadaan bersih, kemas dan selamat.

Hal itu katanya, bagi mengelakkan pelajar tahfiz dipandang rendah dan hanya layak untuk penempatan pelajar bermasalah serta lemah akademik.

“Pihak pengurusan sekolah juga hendaklah memastikan semua langkah awal keselamatan di sekolah diambil tindakan sewajarnya.

“Akhir kata, saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan syabas pada saf kepimpinan PITAS yang berjaya menjadi medan perhubungan institusi tahfiz terdiri dari pelbagai bentuk aliran dan fahaman,” katanya.


Pengarang :