NASIONAL

Siasat sindiket jual ‘lesen terbang’ di laman sosial

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 22 JUN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa menyiasat dan mengambil tindakan ke atas kegiatan menjual lesen memandu terbang yang semakin berleluasa di laman sosial khususnya Facebook.

Pegawai Tugas Khas Pejabat Menteri Pengangkutan, Chung Yi Fan berkata, sindiket haram tersebut menawarkan lesen memandu dengan harga mencecah ribuan ringgit.

“Sindiket ini disyaki melakukan pemalsuan dokumen serta terlibat kegiatan rasuah.

“Iklan di laman sosial tersebut mendakwa mereka boleh membekalkan dokumen lesen memandu sah daripada Jabatan Pengangkutan Awam (JPJ) dengan bayaran beberapa ratus ringgit hingga dua ribu ringgit tanpa perlu hadir kursus atau ujian amali.

“Tindakan ini adalah bertentangan dengan undang-undang iaitu Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saya berharap siasatan segera dijalankan oleh pihak polis untuk mencari serta mengesan pihak yang bertanggungjawab,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, pagi tadi.

Katanya, beliau sudah menyerahkan dokumen mengenai aktiviti haram itu untuk tindakan selanjutnya.

Beliau percaya sindiket berkenaan membuat iklan penjualan lesen terbang itu menggunakan akaun palsu.

Baru-baru ini, sebuah akhbar tempatan berbahasa Cina melaporkan wujud kumpulan yang menawarkan lesen memandu pada harga antara RM990 hingga RM2,900 kepada pembeli berminat tanpa perlu menjalani ujian serta latihan memandu.


Pengarang :