BERITA UTAMASELANGOR

Sidang DNS, fokus angkat sumpah ADN

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 24 JUN: Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) akan memberi penumpuan khas majlis angkat sumpah, Ahli Dewan Negeri (ADN).

Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, proses itu perlu dilakukan segera sebelum persidangan selanjutnya diteruskan.

“Untuk DSN akan datang, kita akan memberi keutamaan kepada proses angkat sumpah terlebih dahulu sebelum persidangan dan siri perbahasan dibuat,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau diminta mengulas sebarang gerak kerja dan penumpuan khas yang akan dijalankan pentadbiran negeri pada persidangan DNS akan datang.

Amirudin sebelum ini mendedahkan kemungkinan proses angkat sumpah wakil rakyat negeri akan dibuat, selewat-lewatnya penghujung Jun ini.

Terdahulu, Amirudin yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Tua itu hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parti Amanah Negara, di Stadium Shah Alam, petang ini.

Kira-kira 20,000 pengunjung memeriahkan program berkenaan yang turut dihadiri Presiden parti itu, Mohamad Sabu.

Turut hadir, pimpinan Exco Pimpinan Kerajaan Negeri ; Ir Izham Hashim, Dr Siti Mariah Mahmud, Haniza Talha dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Najwan Halimi.


Pengarang :