Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Sharafuddin murka pada pihak perlekeh institusi diraja

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KLANG, 9 JUN: Duli Yanag Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, murka terhadap pihak yang cuba menggugat dan mempertikai peranan institusi diraja.

Baginda bertitah, penularan budaya itu perlu dihentikan segera supaya rakyat tidak terus dihasut membenci raja-raja Melayu.

“Beta berasa amat dukacita kerana sejak kebelakangan ini ada pihak secara terbuka menghina dan memperlekehkan institusi raja bagi menghasut serta mempengaruhi rakyat untuk membenci raja-raja Melayu.

“Apa yang lebih mendukacitakan adalah hasutan bagi membenci raja-raja Melayu ini dilakukan segelintir orang Melayu.

“Peranan institusi raja adalah bagi memelihara dan mempertahankan kedudukan orang Melayu serta agama Islam juga kaum lain, di negara ini.

“Beta menegaskan bahawa institusi raja mempunyai peranan di dalam sistem Raja Perlembagaan yang diamalkan di negara ini serta sentiasa mendokong prinsip yang termaktub, di dalam Perlembagaan Persekutuan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Berbuka Puasa bersama rakyat dan penyampaian sumbangan Hari Raya serta Perasmian Masjid Jalan Kebun, Klang, semalam.

Dilaporkan, wujud sentimen negatif daripada pihak tertentu yang lantang mencabar peranan institusi diraja yang dibuat menerusi laman media sosial.

Bagaimanapun, beberapa laporan polis sudah dibuat badan bukan kerajaan bagi menuntut tindakan itu dihentikan.

Pada masa sama, baginda bertitah supaya masyarakat di negeri itu khususnya kaum Melayu lebih bersatu dan kekal mengutamakan nilai positif.

Titah baginda, tuntutan itu selari dengan seruan agama yang menuntut umat Islam kekal bertolak ansur dan sentiasa bersedia untuk memaafkan antara satu sama lain.

“Beta juga menyeru kepada seluruh rakyat melaksanakan pelbagai langkah untuk meningkatkan taraf ekonomi termasuk berjimat cermat ketika berbelanja,” titah baginda.


Pengarang :