SELANGOR

BN, PAS belum kemuka calon Ketua Pembangkang DNS

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 1 JULAI: Ahli Dewan Negeri (ADN) pembangkang masih belum mengemukakan calon untuk dinamakan sebagai Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor (DNS).

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri masih menunggu senarai nama berkenaan bagi melengkapkan fungsi DNS.

“Setakat ini senarai itu belum dinamakan lagi, namun sebarang urusan lantikan ketua pembangkang perlu melalui DNS dan Speaker adalah rujukan bagi pelantikan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Sillaturrahim Eidul Fitri, peringkat Parlimen Gombak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia, di Taman Berjaya, petang ini.

Untuk rekod, penggal lalu menyaksikan tiada lantikan ketua pembangkang susulan keengganan wakil rakyat Barisan Nasional menamakan calon mereka.

Ketika ini, seramai lima ADN pembangkang turut mengganggotai senarai anggota ADN, selepas majlis angkat sumpah dibuat Jun lalu.

Pada masa sama, Amirudin turut mengulas saluran peruntukan dan bantuan kepada wakil rakyat pembangkang, di negeri ini yang menerima jumlah sama, malah lebih tinggi berbanding negeri lain.

Katanya, tidak wujud sentimen ‘berat sebelah’ berlandaskan pendirian tegas pentadbiran negeri memastikan peruntukan diberi mengikut keperluan.

“Peruntukan ini termasuk keperluan menyediakan pejabat khas dan program rasmi bagi memudahkan mereka menjalankan fungsi sebagai wakil rakyat dengan baik kepada rakyat,” katanya.


Pengarang :