NASIONAL

Dr Mahathir mahu sungai di Sarawak dimanfaat sebaik mungkin

KUCHING, 15 JUL: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mahu aset di Sarawak khususnya sungai dimanfaat sebaik mungkin.

“Saya telah bercakap berkenaan potensi di Sarawak ini, kita perlu eksploitasi aset yang kita ada iaitu sungai yang sememangnya merupakan suatu aset di samping tanah. Tanah sangat luas di Sarawak berbanding jumlah penduduknya yang agak kecil.”

“Jika dibandingkan dengan sungai, pembangunan tanah kini tertakluk kepada pertimbangan dari segi alam sekitar tetapi dengan sungai, kita boleh lakukan banyak perkara – pengangkutan, menjana tenaga. Berdasarkan taklimat yang disampaikan kepada saya tadi, saya dapati potensi bagi pertumbuhan Sarawak itu ada dan segala-galanya bergantung kepada bagaimana kita memanfaatkan aset itu,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri taklimat tertutup kira-kira 45 minit mengenai pembangunan Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya di sini hari ini, yang disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani.

Turut hadir Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan barisan menteri Kabinet Sarawak.

Sebaik selesai taklimat, Dr Mahathir diraikan kerajaan Sarawak dengan acara memotong kek bersempena ulang tahun kelahiran beliau.

Mengulas lanjut mengenai taklimat tersebut, Dr Mahathir berkata beliau dimaklumkan antaranya mengenai pelaburan asing di Sarawak.

“Daripada taklimat tadi, saya dapati bahawa pembangunan tidak terhad kepada Kuching sahaja tetapi kepada tempat-tempat lain dan industri juga, telah banyak pelaburan asing datang ke sini dan saya yakin ini boleh ditingkatkan lagi,” katanya.

Sementara itu ketika ditanya mengenai hubungan kerajaan Persekutuan dan Sarawak, Dr Mahathir kerjasama antara kedua-dua kerajaan adalah baik.

“Sekarang ini kita sudah bertemu beberapa kali dan kita dapati kerjasama antara kerajaan Sarawak dengan Persekutuan memang baik,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :