SELANGOR

LZS serah sumbangan mangsa kebakaran

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SABAK BERNAM, 4 JUL: Lembaga Zakat Selangor (LZS) tampil menyerahkan sumbangan berjumlah RM500 kepada keluarga mangsa terlibat dalam kebakaran di Kampung Sungai Tengar, di sini, baru-baru ini.

LZS menerusi kenyataan di Facebook berkata, sumbangan itu sebagai tanda keprihatinan pihaknya terhadap keluarga terbabit yang terpaksa berputih mata kerana rumah didiami mereka musnah terbakar.

“Sayu dan pilu ketika kami tiba. Hilang tempat suka duka mereka. Semoga Allah ganti dengan yang lebih baik.

“Lebih menyedihkan, mangsa, Tuminah Kadir, berusia 76 tahun ini kehilangan suami, Ahmad Arshad yang tidak sempat menyelamatkan diri dalam kejadian itu.

“Makcik Tuminah dan seorang lagi anak beliau berjaya diselamatkan oleh salah seorang penduduk kampung. Namun, punca kejadian masih dalam siasatan pihak polis dan bomba,” katanya.

Bagaimanapun, LZS memaklumkan, keluarga mangsa didaftarkan sebagai asnaf miskin dan akan dibantu untuk pembinaan rumah baru.

“Kami amat prihatin dan sedih mengenangkan nasib menimpa keluarga kerana terpaksa menanggung ujian berat ini.

“Semoga Makcik Tuminah dan keluarga dapat mengharungi ujian dari Allah SWT dalam bulan Syawal ini dengan lebih kesabaran dan keredhaan,” katanya.


Pengarang :