BERITA UTAMANASIONAL

Najib didakwa tiga pertuduhan pecah amanah dan satu kes rasuah

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 4 JUL: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak didakwa tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan rasuah membabitkan menyalahguna jawatannya berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Prosiding pendakwaan bermula jam 9.06 pagi di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Zainal Abidin Kamarudin.

Tiada pengakuan daripada Najib kerana kes akan disebut semula di Mahkamah Tinggi untuk direkodkan pengakuan.

Bagi tiga pertuduhan pecah amanah, Najib selaku penjawat awam iaitu Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Penasihat SRC International didakwa melakukan pecah amanah wang berjumlah RM42 juta yang di Menara Ambank, Jalan Raja Chulan antara 24 Disember 2014 dan 29 Disember 2014.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebat dan denda.

Beliau turut didakwa menggunakan jawatan sebagai Perdana Menteri ketika itu untuk suapan berjumlah RM42 juta ketika mengambil bahagian atau terlibat membuat keputusan bagi pihak kerajaan Malaysia bagi pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) kepada SRC International.

Bagi kesalahan itu, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman denda sehingga lima kali jumlah suapan atau RM10,000 mana-mana lebih tinggi atau penjara maksimum 20 tahun.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (akta 574) yang membawa hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebat dan denda.


Pengarang :