SELANGOR

MB ucap takziah keluarga mangsa, hantar wakil ziarah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 JUL: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Adik Adam Rayqal yang meninggal dunia di rumah pengaruhnya di Jalan Nahkoda Kiri Tiga, Kampung Nakhoda, Batu Caves.

Menerusi laman Twitternya, Amirudin memaklumkan beliau sudah meminta pegawai Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Tua untuk menziarahi keluarga Allahyarham.

“Rentetan dari tragedi yang menimpa Allahyarham Adik Adam Rayqal, Pegawai-pegawai Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Tua mewakili saya menziarahi keluarga Allahyarham di Taman Amaniah.

“Semoga Allah mempermudahkan urusan mereka dalam menguruskan jenazah anak syurga ini. Al Fatihah,” tulisnya.

Amirudin turut mengucapkan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia yang pantas mengesan tipu daya pengasuh itu.

“Kes Adam Rayqal, takziah kepada keluarga mangsa.

“Tahniah pasukan @PDRMsia Gombak yang pantas mengesan tipu-daya pengasuh terbabit,” tulisnya.

Terdahulu, bayi lelaki lima bulan yang sebelum ini dilaporkan hilang selepas didakwa diambil seorang lelaki, ditemui mati di rumah pengasuhnya.

Mayat itu ditemui disorokkan dalam bahagian sejuk beku peti ais dua pintu, kira-kira jam 11 malam tadi.

Mayat bayi berkenaan yang lengkap dengan pakaian dan berbalut kain napkin serta disumbat dalam beg berwarna hijau ditemui oleh sepasukan anggota bahagian siasatan jenayah yang membuat pemeriksaan di rumah berkenaan.

 


Pengarang :