SELANGOR

Mohd Zawawi yakin undi PAS berpihak padanya

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 23 JULAI: Calon KEADILAN, Mohd Zawawi Ahmad Mughni optimis anggota PAS akan mengundinya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis, pada 4 Ogos ini.

Beliau berkata, keyakinan itu timbul ekoran anggota parti berkenaan mahu pemimpin yang mempunyai pemikiran Islam dan sahsiah baik untuk menjadi ketua mereka.

“Saya yakin 7,000 pengundi PAS akan mengundi saya,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama Sungai Kandis, di sini, hari ini.

Mengulas berkenaan PAS akan bergabung dengan Barisan Nasional (BN) untuk menarik pengundi Melayu, Mohd Zawawi berkata, ia terserah kepada parti berkenaan dan beliau tidak tercabar.

“Sama ada mereka mahu bergabung atau tidak, itu terserah kepada mereka kerana itu hak parti terbabit,” katanya.

Terdahulu, calon BN PRK Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam dilaporkan mahu mengadakan perjumpaan dengan pemimpin PAS di kawasan berkenaan sebagai salah satu usaha mengajak parti itu bersama mendekati pengundi Melayu.

Bagaimanapun, Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, parti itu tidak membuat perbincangan mahupun perancangan, termasuk dalam soal membantu calon BN selaku pembangkang.

PRK DUN Sungai Kandis ditetapkan pada 4 Ogos ini ekoran kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma, pada 2 Julai lalu.

PRK itu akan menyaksikan perlawanan tiga penjuru antara Mohd Zawawi, Lokman dan seorang calon Bebas, K. Murthy.


Pengarang :