Selangorkini
NASIONAL

Tiada pemisahan perumahan awam dan ‘high end’

OLEH SHEEDA FATHIL

AMPANG, 8 JUL: Tiada jurang pemisahan antara penduduk di perumahan awam dan perumahan ‘high end’ seperti dilaksanakan di Singapura itu seharusnya diterapkan di Selangor, kata Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha.

Katanya, perkara itu perlu dicontohi oleh Selangor dan juga negara ini terutamanya bagi memastikan tiada jarak pemisahan antara golongan berpendapatan rendah serta berpendapatan tinggi.

“Saya lihat di Singapura, penduduk berpendapatan rendah dan tinggi berkongsi fasiliti yang sama, mereka tidak meletak pemisahan darjat di situ.

“Hal ini sekaligus dapat menerap integrasi dalam kalangan penduduk tanpa adanya perbezaan taraf komuniti,” katanya kepada SelangorKini.

Selain itu, Haniza berkata, antara perkara lain yang patut dijadikan contoh adalah daripada segi kuota kaum dalam pembinaan perumahan awam di Singapura.

“Di Singapura, mereka juga tiada membeza-bezakan kaum contoh tidak hanya meletakkan satu-satu kaum sahaja di kawasan itu dan hal ini patut dipuji kerana wujudnya integrasi kaum selain memupuk perbezaan budaya.

“Saya difahamkan, apabila cukup sahaja kuota kaum di kawasan itu, mereka akan menutup permohonan dan pemohon boleh mencari di kawasan perumahan awam lain yang juga mempunyai kuota masing-masing,” katanya.

Katanya, beliau amat berharap perkara ini berjaya diterapkan di Selangor dan Malaysia bagi memastikan golongan berpendapatan rendah dan tinggi tiada jurang atau pemisahan darjat.

Terdahulu, Haniza melalukan lawatan kerja selama tiga hari ke negara jiran yang berakhir semalam bersama Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin.

Lawatan kerja itu bertujuan mempelajari dan mendengar banyak input berhubung dasar perumahan Singapura yang boleh diterapkan dalam dasar perumahan di Selangor juga Malaysia.


Pengarang :