NASIONAL

PM: Dasar Automotif Nasional sedang dikaji semula

KUALA LUMPUR, 30 JUL: Dasar Automotif Nasional sedang dikaji semula bagi memastikan industri tersebut kekal kompetitif, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata kajian itu meliputi perkara berkaitan pembangunan industri automotif tempatan termasuk projek kereta nasional yang baharu, pembangunan syarikat tempatan, aktiviti penyelidikan dan pembangunan serta peningkatan eksport.

Katanya, industri automotif negara khususnya Proton mengalami kemerosotan dalam tempoh 10 tahun lalu kerana dasar membenarkan kereta dari semua negara masuk ke pasaran Malaysia namun syarat ketat dikenakan ke atas kereta keluaran tempatan yang hendak dipasarkan di luar negara seperti pematuhan emisi karbon Euro 5 dan cukai agrikultur.

“Negara-negara ini mengenakan syarat supaya Proton tidak dapat tembusi pasaran mereka. Negara-negara ini mempunyai kilang yang amat besar dan mengeluarkan berjuta-juta kereta setahun dan mereka juga menyekat kereta masuk ke pasaran mereka,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) di Dewan Rakyat hari ini.

Wee ingin tahu mengenai perihal projek kereta nasional ketiga dan adakah kerajaan mengambil iktibar daripada masalah yang membelenggu Proton selama ini.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :