BERITA UTAMA SELANGOR

Raja Muda Selangor sah Presiden FAS yang baharu

SHAH ALAM 3 JUL: Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dilantik sebagai Presiden baru Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) pada Kongres Luar Biasa FAS yang berlangsung di sini hari ini.

Beliau menggantikan Datuk Seri Subahan Kamal yang melepaskan jawatan itu untuk memberi lebih tumpuan kepada Persekutuan Hoki Malaysia (MHC) selaku Presidennya dan juga Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai Timbalan Presiden.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Tengku Amir Shah mengucapkan terima kasih kepada badan-badan gabungan FAS dan peminat kerana memberi sokongan kepada beliau untuk menerajui FAS.

Beliau berikrar untuk membawa pembaharuan kepada persatuan itu agar dapat menunjukkan prestasi lebih cemerlang dalam Liga Malaysia.

Tengku Amir berkata, beliau akan mengadakan mesyuarat exco FAS dalam seminggu ini untuk membincangkan cara menambah baik struktur persatuan itu.

Beliau menyeru para peminat Red Giants hadir memenuhi Stadium Nasional di Bukit Jalil untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala FA antara Selangor dengan Pahang Sabtu ini.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :