PELANCONGANSELANGOR

Selangor Fruit Valley satu lagi mercu tanda Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 4 JUL: Usaha membangunkan Selangor Fruit Valley bakal dipertingkatkan bagi dijadikan sebagai salah satu mercu tanda baru di Selangor.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Izham Hashim berkata, usaha itu dijalankan di atas tanah seluas kira-kira 300 ekar milik Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

“Usaha membangunkan Fruit Valley ini mempunyai beberapa sasaran iaitu pembangunan berteraskan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan teknologi tinggi, kita juga tekankan aspek pemasaran melibatkan pembungkusan dan pemasaran yang cantik; ketiga, pembangunan usahawan di situ dan keempat pelancongan agro.

“Semuanya ada di Selangor Fruit Valley dan dijadikan salah satu mercu tanda Selangor iaitu Selangor Fruit Valley. Keseluruhan hampir 1,000 hektar tetapi yang kita bangunkan sekitar 300 ekar lebih,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PKPS di Dewan Orkid, Wisma PKPS di sini, semalam.

Izham berkata, Selangor Fruit Valley yang dibuka pada Disember 2016 semakin mendapat sambutan pengunjung.

Katanya, walaupun Selangor Fruit Valley baru beroperasi namun berjaya memberi pulangan yang baik kepada PKPS.

“Ini merupakan perkara yang agak unik kerana sebelum ini PKPS menghadapi masalah kewangan tetapi pada kali ini saya dapati antara projek mereka yang sangat berjaya adalah projek Selangor Fruit Valley itu sendiri dan pelancongan agro di situ nampaknya semakin berkembang,” katanya.

=EZY=


Pengarang :