SELANGOR

SPR mesyuarat khas Isnin depan bincang tarikh PRK DUN Sungai Kandis

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 JUL: Suruhajaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas Isnin depan bagi membincangkan mengenai kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis susulan kematian penyandangnya, Shuhaimi Shafiei.

Setiausahanya, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar berkata, mesyuarat khas itu akan membincangkan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Kecil (PRK) seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian dan Daftar Pemilih.

“Mesyuarat akan bermula sekitar jam 10 pagi itu juga akan dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood.

“Sidang media juga akan diadakan sejurus selepas mesyuarat tersebut,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Terdahulu, Speaker Dun Selangor, Ng Suee Lim sudahpun menyerahkan notis berhubung kekosongan kerusi itu kepada SPR.

Katanya, beliau menerima sijil kematian Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Shuhaimi Shafiei daripada keluarga allahyarham pagi tadi.

“Apabila menerima sijil tersebut, barulah kami memaklumkan secara rasmi kepada SPR mengikut Bahagian Dua, Undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959 Perkara 70 (5) berhubung kekosongan luar jangka.

“Pihak saya menyerahkan notis ini kepada SPR pagi tadi melalui serahan tangan kepada pengurus SPR di Putrajaya, jadi secara rasminya saya boleh katakan Kerajaan Selangor sudah selesaikan isu ini, sekarang terpulang pada SPR untuk membuat tindakan lanjut,” katanya.

Shuhaimi, 50, meninggal dunia akibat kanser limfoma tahap empat di Pusat Perubatan Subang Jaya jam 11.10 pagi, semalam.

Jenazah beliau disemadikan di Tanah Perkuburan Seksyen 21 Shah Alam.


Pengarang :