NASIONAL

BERSIH 2.0 gesa enam ahli SPR letak jawatan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 4 JUL: Jawatankuasa Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) menggesa enam ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terbabit dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu meletakkan jawatan secepat mungkin.

BERSIH 2.0 dalam kenyataan berkata, hal itu bagi memastikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis yang bakal diadakan ekoran kematian penyandangnya, Shuhaimi Shafiei, tidak dicemari insiden tidak diingini.

Katanya, jika individu terbabit enggan berbuat demikian, satu jawatankuasa khas perlu diwujudkan bagi mengambil tindakan terhadap mereka selari dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Langkah itu penting bagi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kredibiliti SPR terutama menjelang PRK Sungai Kandis.

“Walaupun Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah sudah membuat pilihan untuk bersara awal, kita tidak boleh mengenepikan enam ahli lain yang juga dilihat tidak cekap mengurus PRU lalu.

“BERSIH 2.0 mengambil berat mengenai elemen legitimasi dan integriti pada PRK akan datang jika ahli terbabit masih bekerja dengan SPR,” katanya.

Sehubungan itu, SPR perlu mempercepat proses pelantikan pengerusi dan ahli baharu yang mempunyai integriti.

“Pelantikan pengerusi dan ahli baharu ini perlu dipilih dalam kalangan mereka yang tidak terbabit dengan mana-mana parti politik.

“Mereka perlu mempunyai kepakaran dalam proses mengundi pada PRU atau PRK,” katanya.

Terdahulu, Allahyarham Shuhaimi yang baru sahaja dipilih semula menjadi wakil rakyat, meninggal dunia akibat kanser limfoma tahap empat, ketika dirawat di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Subang Jaya, pada 2 Julai lalu.


Pengarang :