GLOBAL

Waspada cuaca panas, jemaah dinasihat kurangkan aktiviti luar

MADINAH, 12 JUL: Jemaah haji dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar seperti membeli-belah dan ziarah terutama pada waktu siang, selain yang diaturkan oleh Tabung Haji (TH) semasa di tanah suci berikutan keadaan cuaca yang agak panas.

Pengarah Operasi Tabung Haji Madinah Affandi Abdullah turut mengingatkan jemaah haji Malaysia musim 1439H ini untuk menjaga kesihatan dan memperbanyakkan meminum air kosong bagi mengelakkan dihidrasi.

“Pada tahun ini, musim haji masih lagi berlangsung dalam musim panas. Justeru jemaah diminta bersedia dalam menghadapi cuaca panas yang melebihi 40 darjah celsius,” katanya pada sesi bertemu media di sini, hari ini.

Mengikut statistik TH, suhu yang paling panas dicatatkan adalah pada tiga tahun lepas, iaitu waktu wukuf semasa itu berlaku pada bulan September yang merupakan kemuncak musim panas.

Kawasan yang paling panas adalah di Madinah. Bagaimanapun, musim haji berganjak ke depan sedikit setiap tahun dan pada tahun ini jemaah haji berkemungkinan akan wukuf di Padang Arafah pada 20 Ogos dan akan pulang ke Malaysia sebelum bulan September.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :