NASIONAL

Xavier jamin isu air selesai

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 3 JUL: Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar memberi jaminan, isu air berlarutan di negeri itu akan diselesaikan segera dalam tempoh sebulan.

Beliau berkata, perbincangan sudah diadakan dengan pihak terbabit, termasuk Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berhubung perkara itu, dan sehingga kini tidak banyak lagi isu yang perlu dimuktamadkan.

“Ada sedikit lagi perkara yang belum dipersetujui, namun kita percaya ia dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

“Saya juga akan minta jemaah menteri lanjutkan tempoh sebulan lagi,” katanya dipetik Free Malaysia Today, pada sidang media di hari ini.

Terdahulu, Xavier yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat itu melapor diri di Wisma Sumber Asli hari ini selepas mengangkat sumpah menerajui kementerian itu, semalam.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian, Dato’Seri Azizan Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan serta agensi di bawah kementerian yang baru diwujudkan itu.

Mengulas lanjut, Xavier berkata, tarikh akhir untuk mengetahui kedudukan berhubung penstrukturan semula industri air di negeri itu sepatutnya berakhir esok.

Bagaimanapun katanya, semua pihak terlibat turut komited menyelesaikan isu itu dengan segera.

“Jangan kita bincangkan tentang masa lalu, tetapi lihat ke masa depan, saya rasa kita bersedia menyelesaikan masalah ini yang telah berlarutan. Semua pihak bersedia menyelesaikannya dalam masa sebulan,” katanya.

Sebelum itu, jaminan untuk menyelesaikan isu air dalam tempoh 100 hari turut terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan sebelum memenangi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) lalu.


Pengarang :