dav
PELANCONGANSELANGOR

2,583 pelajar bermalam di muzium, Selangor tuan rumah

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 31 OGOS: Seramai 2,583 pelajar berusia linkungan 13 hingga 17 tahun bermalam selama dua hari satu malam di muzium seluruh Malaysia manakala Muzium Sultan Alam Shah, Selangor selaku tuan rumah, pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT), Dato’ Paiman Keromo berkata, Program Bermalam di Muzium itu merupakan salah satu program utama Jabatan Muzium Malaysia (JMM).

“Program Bermalam di Muzium merupakan satu usaha institusi muzium untuk menerapkan kesedaran dalam kalangan pelajar mengenai pentingnya pemahaman dan menghargai sejarah, budaya serta warisan negara.

“Sememangnya program ini tidak asing lagi di negara kita dan di Selangor baru memasuki tahun kedua penganjurannya namun sambutan diterima amat menggalakkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian “Bermalam di Muzium” yang diadakan di Auditorium Daeng Chelak, Muzium Sultan Alam Shah, di sini, semalam.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Sementara itu, Paiman berkata, penglibatan peserta pada tahun ini meningkat kepada 160 pelajar berbanding tahun lalu hanya 120 peserta sahaja.

“Ia sekaligus menjadikan Muzium Sultan Alam Shah menerima penyertaan paling tinggi di seluruh Malaysia. Tahniah saya ucapkan.

“Pertambahan angka ini membuktikan bahawa muzium kekal relevan dan mampu menarik minat generasi muda bagi mendekati serta menghargai khazanah budaya bangsa kita,” katanya.

Menariknya, setiap peserta yang mengikuti program itu bakal terdedah dengan dua segmen menarik antaranya mereka akan diterangkan mengenai pentingnya menghargai kemerdekaan malalui aktiviti cintakan negara dan setia kawan.

Manakala, segmen kedua mereka akan didedahkan dengan aktiviti berunsurkan budaya menerusi perihal muzium supaya tidak lupa mengenai asal usul serta tamadun negara.

Penganjuran Program Bermalam di Muzium sudah dipelopori oleh Muzium Negara bermula tahun 2005 bersempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia.

Program itu mendapat sambutan cukup hangat dalam kalangan peserta sehingga ia dijadikan sebagai acara wajib Muzium Negara pada saban tahun.

Malah, kejayaan program itu merintis pelaksanaan program seumpamanya yang sehingga kini sebanyak 35 muzium mengambil bahagian untuk turut sama menganjurkannya.

Antara muzium terlibat adalah Muzium Sungai Lembing (Pahang); Muzium Terengganu; Muzium dan Galeri Universiti Sains Malaysia (USM); Muzium Perak; Muzium Tekstil Negara dan Muzium Sabah.


Pengarang :