NASIONAL

Ambil insurans ketika ke luar negara – Wan Azizah

KUALA LUMPUR 1 OGOS: Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menyarankan agar rakyat Malaysia mengambil insurans perjalanan ketika melancong ke luar negara bagi memudahkan urusan sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

Timbalan Perdana Menteri turut mengingatkan orang ramai supaya memeriksa keadaan cuaca di negara yang ingin dilawati sebagai langkah keselamatan.

 

“Rakyat Malaysia yang hendak merancang sukan lasak perlu memeriksa cuaca,” katanya kepada pemberita di Masjid Ar Rahimah, Kampung Pandan di sini, semalam.

Wan Azizah berada di masjid itu bagi menziarahi jenazah Siti Nur Ismawida Ismail, 30, yang maut dalam kejadian gempa bumi di Lombok, Indonesia pada Ahad lepas. Jenazah dibawa pulang dari Lombok hari ini.

Timbalan Perdana Menteri tiba kira-kira pukul 6 petang dan menziarah keluarga mangsa sebelum menunaikan solat di masjid berkenaan.

Siti Nur Iesmawida dilaporkan terkorban dihempap runtuhan tembok bangunan dalam kejadian gempa bumi 6.4 skala Richter yang menggoncang wilayah Nusa Tenggara Barat dan Lombok pada pukul 5.47 pagi Ahad.

Beliau berada di Indonesia kerana menyertai misi pendakian di gunung berapi Rinjani di Lombok Timur.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :