SELANGOR

Ayuh kibarkan Jalur Gemilang

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 20 OGOS: Kerajaan Negeri secara rasmi melancarkan kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Selangor 2018 sempena sambutan kemerdekaan pada 31 Ogos hadapan.

Pelancaran kempen disempurkan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan dan Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang 2018 yang dihoskan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Beliau menyerahkan Jalur Gemilang kepada Pegawai Daerah, Datuk Bandar dan Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan (PBT) Negeri Selangor serta menyempurnakan acara ‘flag-off’ pasukan konvoi berbasikal dan kenderaan JKR Negeri Selangor.

Dalam ucapannya sebelum itu, Amirudin mengajak semua pihak wajar memperbaharui tekad bagi melonjakkan Malaysia dan khususnya Negeri Selangor setiap kali tiba detik 31 Ogos yang menjadi sejarah kemerdekaan negara.

“Mengibarkan Jalur Gemilang pada setiap Hari Kebangsaan bukanlah sekadar satu acara tanpa makna. Kibaran Jalur Gemilang mengandungi tekad dan roh kesetiaan cintakan negara.

“Jalur Gemilang adalah panji-panji kita rakyat Malaysia. Ianya satu penzahiran kepada maruah, kemegahan dan kebanggaan kita,” katanya.

Tema sambutan Hari Kemerdekaan 2018 adalah ‘Sayangi Malaysiaku’.


Pengarang :